Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud :
"Kembalilah kepada Tuhan kamu dengan memohon keampunan dari dosa-dosa kamu dan hindarkanlah perbuatan maksiat dalam bulan mulia iaitu bulan Rejab."
Bulan Rejab salah satu bulan yang sangat dimuliakan dalam Islam. Pintu rahmat dari Allah terbuka luas bagi hamba-hamba Nya yang menginginkan kesejahteraan jiwa dan ketenangan fikiran. Beristighfar merendahkan diri dengan harapan agar segala dosa, maksiat dan kesalahan akan terampun dan terhapus. Sesungguhnya Allah menerima taubat hamba Nya yang berdosa.
"Dan mintalah keampunan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Al Muzammil : 20)
Dalam kita memperbanyakkan istighfar di bulan ini, perlu kita ketahui juga sebelum itu hendaklah kita bertaubat terlebih dahulu. Taubat itu ertinya menyesal atas dosa-dosa lalu meninggalkannya. Kemudian berazam untuk tidak mengulanginya serta menggantikan amal jahat dengan amal yang baik.
Dianjurkan juga oleh Rasulullah SAW untuk memperbanyakkan istighfar. Di antara Istighfar Rejab yang diamalkan oleh Rasulullah SAW ialah :
"Aku bermohon keampunan kepada Allah yang Maha Agung yang tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup, yang berdiri sendiri dan aku bertaubat kepada-Nya."
"Wahai Tuhanku, Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan yang berhak kusembah melainkan hanya Engkau sendiri, telah Engkau jadikan aku dan aku ini hamba-Mu dan aku ini sentiasa di dalam genggaman, kekuasaan dan ketetapan-Mu, tiada ada kesanggupan sedikit juapun padaku, aku berlindung kepada Engkau dari kejahatan-kejahatan apa yang telah aku lakukan, aku menyedari akan segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada aku dan aku tahu akan dosaku, maka ampunilah apa kiranya akan aku dan dosaku itu, hanya Engkau sahajalah wahai Tuhanku."
Bertaubat bukan hanya untuk orang-orang yang sudah terlajak melakukan dosa. Orang yang hatinya dekat dengan Allah, akan sentiasamerasa bersalah sekalipun tidak buat salah. Sebab itu mereka paling banyak bertaubat kepada Allah. Malah Rasulullah SAW sendiri yang maksum (terhindar dari dosa), bertaubat sekurang-kurangnya 70 kali sehari.
Pengasihnya Allah.
Seorang lelaki yang telah membunuh 100 orang, merasa menyesal dan bertaubat. Dia pun bertanya kepada seorang alim apakah Allah akan menerima taubatnya. Orang alim itu pun menyuruhnya pergi berhijrah ke satu tempat. Malangnya dia meninggal dunia di dalam perjalanannya itu. Malaikat rahmat dan malaikat azab berselisih pendapat tentang lelaki itu. Lalu Allah pun menyuruh kedua-dua malaikat itu mengukur jarak perjalanan lelaki itu dari tempat ia meninggal dunia ke negeri asalnya dengan tempat yang dituju. Setelah diukur ternyata perjalanannya lebih hampir ke tempat yang ditujunya. Maka ia pun dimasukkan kepada golongan orang yang mendapat rahmat Allah dan diampunkan dosanya.
Peristiwa Israk Mikraj.
Setiap kedatangan 27 Rejab, umat Islam bersama memperingati satu peristiwa agung yang berlaku pada malamnya. Peristiwa yang menguji kebenaran Rasulullah SAW dan keimanan umat Islam. Israk Rasulullah SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan kemudian dari situ terus dibawa oleh Malaikat Jibril hingga ke Sidratul Muntaha mengadap ke hadrat Allah SWT. Semuanya berlaku pada satu malam sahaja. Firman Allah:
"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Al Israa')
.................................................................................................................................................................
No comments:
Post a Comment